Dropshipping | Model Perniagaan Atas Talian Yang Anda Perlu Tahu Semua Ada Di Sini!

Victor LaiTentang Penulis: Victor Lai, orang Melaka. BSc (Hons) in Computing, Google Analytics & AdWords Certified. Pernah memegang jawatan editor/ penulis/ penterjemah di industri kesihatan; penolong editor e-berita (laman web/e-paper/SMS) di syarikat akhbar; web developer di industri peruncitan. Kini sebagai Internet Marketer sepenuh masa.

Dropshipping | Model Perniagaan Atas Talian

Hari ini topik kita adalah dropshipping, semua yang anda perlu tahu.

Pernahkah anda dapati bahawa dropshipping telah menjadi topik yang hangat diperkatakan? Khususnya dengan kebangkitan Shopify, banyak orang yang ingin memulakan perniagaan dengan cepat akan memilih kaedah berikut:

Shopify + AliExpress + Facebook

Di mana:

Shopify: digunakan untuk membina laman web dengan cepat, membeli plug-in, membeli tema, membina kedai online dengan pantas.

AliExpress: digunakan untuk membeli dan menjual produk di mana peruncit mendapat keuntungan dari perbezaan harga di antara produk yang dijual.

Facebook: digunakan untuk mendapatkan trafik dengan cepat.

Dalam proses ini, apa yang paling penting bukan pembikinan kedai online. Selagi anda memilih produk yang benar-benar baik, ruang keuntungan cukup lumayan, dan ditolak dengan kos pemasaran, maka baki adalah keuntungan bersih anda.

Anda mungkin juga berminat artikel di bawah ini:

Panduan Pemilihan Produk Dropshipping Melalui AliExpress, eBay, Facebook Dan Google Trends. (Termasuk Bisnes POD)

 

Apa itu Dropshipping?

Saya tidak mahu menggunakan bahasa yang berputar-belik untuk penjelasan. Saya berharap dapat menulis sesuatu yang boleh difaham oleh semua orang.

Dalam sesuatu transaksi, sebenarnya ada tiga peranan yang berlainan:

• Pembekal
• Peruncit
• Pelanggan

Sebabnya sangat mudah, peruncit mendapat barang dari pembekal dan menjualnya kepada pelanggan melalui saluran tertentu. Ini adalah cara jualan yang paling biasa.

Sama ada anda menjual di eBay, Amazon, atau AliExpress, anda mengikuti cara ini.

Dropshipping sebenarnya mengikut cara ini juga. Tetapi proses ini lebih mudah dan ringkas. Peruncit sekarang:

• Tidak perlu mendapatkan produk itu sendiri
• Tiada stok
• Tidak perlu pelaburan modal yang besar (kos utama adalah kos iklan)
• Tidak memerlukan perkhidmatan pelanggan
• Tidak perlu membungkus dan menghantar produk sendiri

 

Bagaimana Dengan Keseluruhan Proses Dropshipping?

Fasa Pertama: Peruncit akan meletakkan maklumat produk yang disediakan oleh pembekal (yang menyokong servis penghantaran satu produk) di laman webnya.

Fasa Kedua: Pembeli pergi ke laman web peruncit untuk membuat tempahan, dan peruncit menghantar maklumat tempahan pembeli, serta membiayai kos tempahan dan penghantaran kepada pembekal.

Fasa Ketiga: Peruncit mendapat keuntungan dengan formula berikut:

Pembayaran dari Pembeli – Pembayaran kepada Pembekal – Kos Penghantaran

 

Anda boleh lihat:

Pada fasa pertama, peruncit meletakkan produk mereka dengan menggunakan Shopify untuk membina kedai online mereka (anda tentu boleh menjualnya di laman web lain, kita akan membincangkannya nanti).

Di fasa kedua, peruncit menghantar maklumat tempahan pembeli kepada pembekal. Ini adalah corak pembelian (dengan harga rendah) dan penjualan (dengan harga lebih tinggi) (biasanya menggunakan Oberlo).

Di fasa ketiga, peruncit mendapat keuntungan dari perbezaan harga belian dan harga jualan.

Gambar berikut adalah penjelasan yang baik tentang keseluruhan proses dropshipping.

 

Model Dropshipping

1. Pelanggan membuat tempahan dan membayar harga runcit ($200) kepada anda.
2. Anda menghantar tempahan pelanggan kepada pembekal dan membayar harga borong sebanyak $150.
3. Pembekal menghantar produk secara langsung kepada pelanggan anda.
4. Keuntungan anda ialah $50.

Mari kita buat perbandingan:

 

Kaedah Tradisional

Anda memerlukan modal permulaan. Katakan RM100 ribu. Kemudian, anda membeli produk bernilai RM40 ribu dari alibaba.com.

Baki RM60 ribu digunakan dalam pelbagai perbelanjaan seperti kos pengiklanan, gaji pekerja, sewa kedai dan sebagainya. Dan yang paling penting, produk yang dibeli dari alibaba.com tidak mungkin habis dijual dalam satu atau dua hari.

Jika anda memilih produk yang salah dan ianya tidak laris, maka pengaliran wang tunai anda akan tersekat. Akhirnya tekanan anda menjadi besar.

 

Kaedah Dropshipping

Dropshipping tidak mempunyai masalah ini. Dalam model perniagaan dropshipping, penjual berjaya memindahkan risiko inventori kepada pembekal. Malah, penjual juga mengalihkan kerja penghantaran produk pelanggan kepada pembekal. Penjual hanya perlu memberi tumpuan kepada operasi kedai dan promosi laman web.

Dengan cara ini (tiada tekanan inventori, tidak perlu mengendalikan penghantaran dan pembungkusan), anda sebagai penjual hanya perlu meluangkan masa untuk pemasaran, mencari trafik yang bermutu serta mempunyai lebih banyak masa untuk menguji populariti sesautu produk.

Dalam proses ini, lebih banyak bajet boleh dilaburkan dalam pengiklanan. Modal permulaan yang sama boleh dipromosikan sekurang-kurangnya 80% dalam kaedah dropshipping berbanding kaedah tradisional.

Oleh itu dari sudut pandangan ini, kelebihan dropshipping adalah jelas!

Dan selalunya Mat Salleh akan mempromosikan satu jenis produk berturut-turut selama satu minggu. Jika tiada tempahan atau keadaan tidak memuaskan, mereka akan menukar produk lain.

Tetapi sekiranya anda mempunyai banyak stok di tangan, suka tak suka anda perlu mencari jalan untuk menghabiskannya.

 

Apa itu Oberlo?

Pertama sekali, Oberlo adalah sejenis plugin yang digunakan di kedai Shopify dengan mengimport produk secara terus dari AliExpress.

Dalam erti kata lain, Oberlo tidak boleh digunakan di saluran lain seperti WordPress, Magento, Joomla atau Drupal.

Dengan memanfaatkan Oberlo, anda boleh mengimport produk yang anda mahu secara langsung dari AliExpress. Anda tidak perlu mengedit gambar secara manual. Anda tidak perlu menulis tajuk, keterangan, dan sebagainya.

Anda hanya perlu memasang plugin di kedai Shopify anda, dan kemudian mengimport produk dari AliExpress ke kedai anda dengan satu klik. Masa anda benar-benar dijimatkan.

 

Proses ini ialah:

1) Pasang plugin Oberlo di dashboard Shopify anda.
2) Pada masa yang sama, anda boleh memasang plugin Oberlo pada Chrome juga.
3) Buka halaman produk AliExpress dan tambahkan produk yang diperlukan ke Oberlo.
4) Tetapkan peraturan harga di Oberlo, mengubah maklumat produk, dan mengimportnya ke dalam kedai Shopify secara kelompok.

 

Jadi apa fungsi yang ada pada Oberlo?

Kita membuka laman web rasmi Oberlo:

https://www.oberlo.com/features

Mari kita perhatikan fungsi utamanya (saya akan membantu anda menterjemahkannya)

Pertama: Mudah untuk mengimport produk

Anda tidak perlu memuat-naik satu demi satu produk ke dashboard Shopify. Anda hanya perlu memasang plugin Oberlo dalam Chrome. Kemudian membuka Aliexpress, dan dengan beberapa klik yang mudah anda boleh mengimport beribu-ribu produk ke kedai Shopify anda.

 

Kedua: Penghantaran tempahan secara automatik

Setelah mendapat tempahan melalui promosi di iklan Facebook, anda hanya perlu klik confirm pada Order Product di dalam dashboard Oberlo.

Kemudian Oberlo akan secara automatik menghantar maklumat tempahan kepada Oberlo Supply yang berkaitan, atau terus kepada pembekal berkaitan di AliExpress.

Selepas itu, Oberlo Supply atau pembekal di AliExpress akan menghantar produk kepada pelanggan.

 

Ketiga: Inventori produk dan pembaruan harga secara automatik

Sistem Oberlo boleh menjejaki maklumat inventori dan maklumat harga produk daripada pembekal di Oberlo Supply dan AliExpress secara automatik, dan harga produk yang anda jual di Shopify berdasarkan peraturan harga yang anda tetapkan di dashboard Oberlo.

Jika inventori pembekal adalah kosong, produk laman web anda akan dipadam secara automatik.

Apabila pembekal melaraskan harga, Oberlo secara automatik melaraskan harga jualan produk yang sepadan di laman web anda mengikut peraturan yang anda tetapkan.

Sebagai contoh, jika pembekal menjual sebanyak $5, anda menetapkan harga jualan produk laman web anda menjadi tiga kali harga pembekal, dan memaksa penambahan dua tempat perpuluhan kepada .97.

Maka, produk anda akan berharga $15.97. Apabila pembekal melaraskan harga kepada $8, harga produk yang sepadan di laman web anda diselaraskan secara automatik kepada $24.97.

Sebagai tambahan kepada tiga fungsi utama di atas, Oberlo juga boleh:

a) Edit maklumat produk anda yang diimport seperti tajuk produk, penerangan produk, imej produk untuk menjadikannya lebih menarik kepada pengguna dan meningkatkan kadar penukaran.

b) Menjejaki status penghantaran terutamanya mengesan masa nyata mengenai status penghantaran tempahan anda.

c) Menyokong penubuhan sub-akaun, menyelaraskan kerja opersai berasaskan pasukan untuk mengendalikan perniagaan dropshipping.

d) Kira jualan dan perbelanjaan anda dan dapatkan gambaran yang jelas tentang keuntungan anda.

e) Penapisan dan penyaringan produk AliExpress berdasarkan sama ada penghantaran E-packet disokong, meningkatkan pemilihan produk dan kecekapan pengimportan produk.

f) Menyokong fungsi senarai kehendak (wish list), tambah produk kegemaran ke senarai kehendak, dan kemudian pos ke Shopify.

 

Soalan-Soalan Kerap Ditanya

1. Oberlo HANYA boleh digunakan bersama Shopify?

Ya.

Oberlo diintegrasi secara mendalam ke Shopify. Untuk menggunakan Oberlo, anda mesti terlebih dahulu mendaftar akaun Shopify. Buat masa ini, Oberlo tidak menyokong mana-mana platform atau laman web persendirian.

 

2. Bolehkah saya menggunakan Oberlo untuk mengimport produk dari Alibaba.com dan bukannya Aliexpress.com?

Tidak.

Pada masa ini, Oberlo hanya menyokong pengimportan produk dari Oberlo Supply Marketplace anda (pembekal bersertifikat Oberlo) dan AliExpress ke laman web Shopify anda.

 

3. Bolehkah saya menggunakan imej produk pembekal secara terus di laman web?

Ya.

Walau bagaimanapun, saya mengesyorkan supaya anda mengoptimumkan imej pembekal sebelum memuat-naik ke laman web anda, seperti mengeluarkan logo, watermark, nama jenama, dan sebagainya.

Saya juga mengesyorkan anda memuat-naik imej produk anda ke laman web anda.

 

4. Bolehkah saya menukar nama kedai Shopify?

Ya, anda boleh mengubah nama kedai anda pada bila-bila masa.

Log masuk ke dashboard dan ubah suai maklumat akaun Shopify anda dalam Setting – General – Store Detail. Ambil perhatian bahawa Nama Pengguna yang anda gunakan untuk mendaftar tidak boleh diubah suai, iaitu, alamat pautan (username.myshopify.com) tidak boleh diubah suai.

 

5. Berapa banyak produk paling sesuai diimport ke laman web saya?

Pengguna Oberlo yang paling berjaya akan menumpukan masa mereka kepada beberapa produk. Saya mengesyorkan 10-200 produk. Dengan cara ini tumpuan pelanggan terhadap produk anda tidak akan terganggu, dan anda dengan cepat dapat mencari produk yang anda perlukan.

Tetapi jika kedai anda mempunyai banyak produk berkualiti, anda boleh menggunakan versi Pro Oberlo, yang boleh mengimport sehingga 30,000 produk dengan bayaran $79.90 sebulan.

 

6. Bolehkah saya melakukan dropshipping tanpa Oberlo?

Sudah tentu! Oberlo hanyalah alat yang boleh membantu anda mengimport produk dari AliExpress, mengesan maklumat, logistik, dan lain-lain. Anda boleh melakukannya tanpa Oberlo, tetapi maklumat yang disebutkan di atas, anda terpaksalah mengesannya sendiri.

 

7. Saya mahu mendapatkan produk dari Alibaba untuk melakukan dropshipping, boleh ke?

Sudah tentu! Sekiranya anda membuat perbandingan, rasa-rasanya harga produk di AliExpress lebih mahal daripada Alibaba. Jika anda ingin mendapatkan produk dari Alibaba untuk melakukan dropshipping, maka anda tidak perlu menggunakan Oberlo.

Di samping itu, saya perlu memberitahu anda bahawa Oberlo dan AliExpress adalah gabungan sempurna. Tetapi jika anda mempunyai sumber produk yang lebih baik, anda tidak perlu menghadkan diri sendiri.

Pelan Permulaan Oberlo adalah percuma untuk digunakan dan tidak mengenakan sebarang bayaran. Sekiranya anda menggunakan Oberlo untuk memproses lebih daripada 50 tempahan sebulan, anda perlu menaik taraf ke Basic Plan yang berharga $29.90 sebulan.

Di samping itu, jelaslah bahawa Oberlo hanya boleh digunakan dengan Shopify, dan Shopify berharga $29 sebulan. Harga khusus adalah seperti berikut:

 

Kesimpulan

Mengapa ramai peniaga menggunakan Facebook untuk menjana trafik?

Sebenarnya, secara jitunya adalah menggunakan iklan Facbeook untuk menjana trafik! Dalam kaedah yang telah saya sebutkan di awal-awal artikel ini, saya berkata:

Shopify + AliExpress + Facebook

Anda boleh menggunakan Shopify untuk membina laman web dengan cepat, menggunakan AliExpress untuk memilih produk (keuntungan umum ialah 15% hingga 50%), dan kemudian menggunakan iklan Facebook untuk menguji produk dengan cepat.

Oleh itu, dalam dua peringkat pertama, anda tidak perlu menghabiskan terlalu banyak masa. Jadi kesan pengujian produk secara langsung dengan iklan adalah lebih cepat. Maka anda JARANG mendengar ada orang yang melakukan dropshipping bergantung pada SEO untuk mengoptimumkan trafik. Anda lebih cenderung mendengar iklan Facebook.

Prinsipnya di sini, dengan cepat menguji produk, dengan cepat mencari ruang keuntungan untuk sesuatu produk, ini adalah keunikan dropshipping!

Oleh itu, dalam kaedah dropshipping, saya fikir perkara yang paling penting adalah keupayaan anda untuk memilih produk yang baik, dan keupayaan anda untuk menjana trafik yang berkualiti.

Dropshipping bukan sesuatu yang baru untuk Mat Salleh. Malah mereka memang “terer” dalam ilmu ini.

Komen di bawah jika anda ada cadangan dan mahu berkongsi pandangan.

Selamat membaca.

(2019.10.31)

 

Victor LaiTentang Penulis: Victor Lai, orang Melaka. BSc (Hons) in Computing, Google Analytics & AdWords Certified. Pernah memegang jawatan editor/ penulis/ penterjemah di industri kesihatan; penolong editor e-berita (laman web/e-paper/SMS) di syarikat akhbar; web developer di industri peruncitan. Kini sebagai Internet Marketer sepenuh masa.

Tinggalkan Komen Anda

error: Content is protected !!